Panorama KBS Tahap 2 (Siri 3 2010)

Panorama KBS Thp 1 (Siri 3 2010)

Monday, August 23, 2010

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA SEK. RENDAH NEGERI MELAKA 2010

SABTU-21 Ogos 2010: Majlis Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-sekolah Rendah Negeri Melaka 2010 M / 1431 H telah memecahkan rekod Malaysian Books Of Record apabila telah berjaya mengumpulkan seramai 15,033 orang peserta Khatam Al-Quran yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah seluruh negeri Melaka. Rekod sebelum ini dipegang oleh Negeri Terengganu yang berjaya mengumpulkan seramai lebih-kurang 12,000 peserta. Majlis ini yang diadakan di Dewan MITC, Melaka begitu berseri dengan kehadiran peserta-peserta yang memenuhi segenap ruang dewan.

Pentas utama Majlis Khatam Al-Quran 1431 M.
Kejayaan ini dapat dikongsi bersama warga SK Seri Bemban apabila telah berjaya menghantar seramai 93 orang peserta yang terdiri daripada murid-murid tahun empat dan lima dengan menaiki dua buah bas yang telah disediakan oleh pihak penganjur. 

Menurut maklumat yang diperolehi daripada Pn. Azizah bt.Taib, Ketua Panitia Pendidikan Islam SKSB, penyertaan pada tahun ini merupakan penyertaan terbanyak SKSB ke majlis itu yang telah beberapa kali diadakan pada sebelum ini. Ia merupakan kejayaan bersama apabila lapan orang guru dengan ikhlas hati telah mengiringi peserta ke majlis tersebut.

Panitia Pendidikan Islam SKSB mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan untuk menjayakan majlis ini terutama pihak Pentadbir SKSB, guru-guru pengiring, para ibu-bapa dan penjaga serta murid-murid yang menjadi peserta. Semoga majlis ini memberikan seribu manfaat serta kebaikan kepada kita semua insyaAllah.
Peserta lelaki di pentas utama daripada SK Ayer Keroh.

Peserta perempuan di pentas utama daripada SK Ayer Keroh.
Sebahagian peserta perempuan SK Seri Bemban.
Sebahagian peserta lelaki SK Seri Bemban.
Panorama ketika acara khatam berlangsung.
Peserta lelaki SKSB.....kenangan selepas majlis.
Peserta perempuan SKSB dan guru-guru pengiring.

Tuesday, August 17, 2010

PROGRAM IHYA RAMADHAN 1431 H: ZIKIR DAN SOLAT ZUHUR BERJEMAAH


SELASA, 17 Ogos 2010 - Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Yang Maha Berkuasa mengatur setiap ciptaanNya seluruh isi alam ini. Sedar tidak sedar kita hampir menyelesaikan suku pertama ibadah puasa kita di dalam bulan Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. 
Sebahagian murid sedang mengambil wuduk.

Alhamdulillah, satu program sempena Program Ihya' Ramadhan 1431 H iaitu Majlis Zikir dan Solat Zuhur Berjemah berjaya juga dilaksanakan. Program ini yang diadakan pada setiap hari Isnin dan Selasa sepanjang bulan Ramadhan ini melibatkan semua murid Tahap 2 SK Seri Bemban serta semua warga guru dan kakitangan sekolah.

Program ini diadakan di tapak perhimpunan sekolah di bawah empat khemah yang tersergam kukuh. Justeru, pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hamba Allah yang telah menyumbangkan perkhidmatan khemah secara percuma untuk program ini yang berlangsung sepanjang Ramadhan.
Adik kita sedang melaungkan azan Zuhur...



Kami seluruh warga Panitia Pendidikan Islam SK Seri Bemban mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini terutamanya Puan Guru Besar, semua guru dan kakitangan SKSB, semua murid tahap 2 serta pihak ibubapa dan penjaga yang memberikan sokongan penuh kepada program ini. Sekian, selamat berpuasa dan beribadah. 
Sebahagian jemaah lelaki sedang sujud...

Sebahagian jemaah muslimah sedang khusyuk solat...    
Tuan Imam memimpin bacaan doa selepas solat.....amin

Saturday, August 14, 2010

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1431H/2010M (Part 2)

Perkara Yang Membatalkan Puasa

Perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
  • Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh atau mengeluarkan air mani dengan sengaja.
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Gila (hilang akal)
  • Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
  • Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
  • Murtad (keluar dari Islam)
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
Perkara-Perkara Yang Disunatkan Bagi Orang-Orang Yang Berpuasa
  • Menyegerakan berbuka puasa manakala telah yakin masuk matahari.
  • Berbuka puasa dengan buah tamar atau benda-benda manis, dan jika tidak didapati dengan air.
  • Membaca do'a yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.
  • Makan sahur.
  • Menta'khirkan (melambatkan) makan sahur, tetapi janganlah sampai masa yang disyak naik fajar.
  • Mandi kerana mengangkat hadath besar sebelum fajar.
  • Membanyakkan bersedekah dan ibadah seperti membaca Al-Quran, sembahyang sunat seperti Tarawih dan Witir.
  • I'tikaf.
Perkara-Perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa
  • Menelan air liur yang bersih dan dimaafkan orang yang gusinya selalu berdarah.
  • Bersuntik.
  • Termasuk debu atau tepung yang halus ke dalam rongga.
  • Termasuk lalat atau nyamuk dan seumpamanya ke dalam rongga.
  • Termasuk air berkumur-kumur atau air yang dihisap ke hidung dengan tidak bersangatan.
  • Termasuk air mandi wajib atau mandi sunat, tetapi batal puasa jika mandi bersejuk-sejuk dan bersukaria.
Perkara-Perkara Yang Makruh Dilakukan Oleh Orang Yang Berpuasa
  • Menggosok gigi selepas gelincir matahari.
  • Merasa makanan-takut sampai ke rongga.
  • Memamah sesuatu-kerana membanyakkan air liur dan ditakuti akan tertelan.
  • Mencium atau mengkucup isteri.
  • Banyak berkumur-kumur.
  • Mengeluarkan darah seperti berbekam dan lain-lain.
Adab-Adab Yang Baik Bagi Menambah Kesempurnaan Dan Pahala Puasa
  • Jangan banyak berludah.
  • Jangan membuang masa dengan berbual-bual kosong dan melakukan perkara tidak berfaedah.
  • Menghindar diri daripada melihat perkara-perkara yang haram.
  • Menjauhkan diri dari sebarang pendengaran yang haram.
  • Jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang mencarut dan kotor.
  • Menguasai tangan dari melakukan perbuatan haram dan menahan kaki dari berjalan ke tempat-tempat maksiat.
  • Jangan berlebih-lebihan makan dan minum ketika berbuka.
  • Jangan boros dalam perbelanjaan makan minum dan sebagainya.
  • Jangan banyak tidur, terutamanya pada siang hari.
Perkara-Perkara Yang Mengharuskan Berbuka
  • Kedatangan haid dan nifas.
  • Sakit yang membahayakan.
  • Sakit yang tiada harapan sembuh.
  • Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan.
  • Dalam perjalanan (safar) sejauh dua marhalah atau lebih.
  • Tua yang tidak berdaya untuk berpuasa.
  • Mengandungkan anak.
  • Menyusukan anak kecil.

Doa Ifthar (berbuka puasa)

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت
Maksudnya: Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan.


Hukum-Hukum Meninggalkan Puasa

 Terbahagi kepada empat :
1. Wajib qadha'
  • Kedatangan haid dan nifas.
  • Sakit yang membahayakan.
  • Tersangat lapar dan dahaga.
  • Dalam perjalanan.
  • Pitam.
  • Mabuk.
  • Mengandung dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri masing-masing.
  • Menyusukan anak dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri masing-masing.
2. Wajib qadha' dan wajib membayar fidyah.
  • Orang yang mengandung dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak masing-masing.
  • Orang yang menyusukan anak dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak masing-masing.
3. Tidak wajib qadha'.
  • Kafir (tidak beragama Islam)
  • Kanak-kanak.
  • Gila
4. Tidak wajib qadha' tetapi wajib membayar fidyah.
  • Sakit yang tidak ada harapan sembuhnya.
  • Orang tua yang tidak kuasa (daya) berpuasa.
Tahukah anda???
1. Lewat qadha' puasa:
  • Jika lewat qadha' puasa hingga datang bulan ramadhan yang lain, wajib membayar fidyah secupak pada tiap-tiap hari puasa, dan jika lewat dua tahun, melewati dua kali ramadhan, wajib berfidyah sebanyak dua cupak dan begitulah seterusnya di samping wajib mengqadha' puasa itu.
2. Orang yang mati sebelum qadha' puasa:
  • Orang yang luput puasa ramadhan kerana sakit atau musafir dan ia mati sebelum mengqadha'nya, tidak wajib diikut dengan qadha' atau fidyah dan tidak berdosa.
  • Jika seseorang itu mati sebelum mengqadha' puasanya dengan ketiadaan uzur, maka walinya hendaklah mengqadha'kannya atau mengeluarkan fidyah secupak pada tiap-tiap hari puasanya.
Fidyah puasa: Mengeluarkan secupak bahan makanan asasi (di negara kita - beras) untuk tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkan, kepada fakir miskin.

Orang-Orang Yang Wajib Imsak

Orang-orang yang berikut dibawah ini adalah diwajibkan imsak, yakni menahan diri daripada makan minum waktu siang hari pada bulan ramadhan, sekalipun mereka itu dikira tidak mengerjakan puasa:
  • Orang yang meninggalkan puasanya dengan sengaja.
  • Orang yang meninggalkan berniat puasa pada waktu malamnya.
  • Orang yang kesiangan pada makan sahurnya.
  • Orang yang berbuka kerana menyangkakan masuk matahari rupa-rupanya masih siang.
  • Orang yang menyangkakan 30 Sya'ban, kemudian ia mengetahui telah masuk satu ramadhan.
  • Orang yang berlebih-lebihan pada berkumur-kumur dan masuk air ke dalam hidungnya.
Orang-Orang Yang Tidak Wajib Imsak
  • Kanak-kanak yang belum baligh.
  • Orang gila ketika sembuh.
  • Orang kafir pada ketika masuk Islam.
  • Orang yang dalam perjalanan (musafir) ketika sampai ke tempat yang dituju.
  • Orang yang sakit pada ketika sembuh.
Hukum Meninggalkan Puasa Ramadhan Tanpa Keuzuran

Puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam dan termasuk di antara fardhu-fardhu yang diketahui daripada agama secara daruri (mudah), maka orang yang mengingkari fardhu Ramadhan adalah kafir dan dia hendaklah diperlakukan sebagaimana diperlakukan terhadap orang murtad. Dia hendaklah diminta bertaubat; sekiranya dia bertaubat, taubat itu diterima daripadanya. Kalau dia tidak mahu bertaubat, dia hendaklah dibunuh sebagai melaksanakan hukum hudud kesalahan murtad. Ini jika sekiranya dia bukan seorang yang baru memeluk islam ataupun dia hidup membesar jauh daripada pembangunan, maksudnya jauh dari tempat ulama’ (orang bijak pandai). Manakala orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran dan tetapi tidak mengingkari kewajipan seperti dia berkata : “Saya wajib berpuasa tetapi saya tidak mahu berpuasa, maka orang ini hukumnya fasik dan tidak kafir. Pemerintah orang-orang Islam wajib menahannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya puasa terlaksana padanya, walaupun sekadar pada zahirnya sahaja.

Hikmah-Hikmah Puasa

Puasa mempunyai banyak hikmah dan faedah antaranya:
  • Menandakan kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hamba-hambanya.
  • Melatih jiwa supaya mempunyai rasa kasih dan belas terhadap orang-orang yang susah menderita.
  • Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat tamak, sombong, hasad dan dengki.
  • Melatih diri supaya bersifat sabar dan tahan menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup.
  • Menanam semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan yang sama itu dapat menimbulkan semangat perpaduan.
  • Menanam semangat sama rata dan menjauhkan sifat beza membeza di antara kaya miskin, hina mulia, raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung perintah Allah.
  • Melatih diri supaya mempunyai peraturan-peraturan dan menghargakan masa, kerana puasa mempunyai batas-batas waktu yang tertentu.
  • Membersihkan anggota-anggota di dalam tubuh dari daki-daki dan lemak-lemak makanan yang bekerja sepanjang tahun.
  • Memberi kerehatan kepada alat-alat di dalam tubuh, terutamanya alat pengisar makanan yang bekerja sepanjang tahun.
  • Memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat, kerana bulan ramadhan mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti Lailatul Qadar dan sembahyang tarawih.

Kerugian Meninggalkan Puasa Ramadhan

Pahala puasa Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Al-Tirmidzi, Abu Daud, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
Penutup
Ibadah puasa mengajar kita bahawa apa jua yang kita buat, hanya ALLAH jua yang mengetahui. Kalau bersolat, orang akan nampak. Kalau berzakat, orang akan nampak kita membayarnya. Kalau berhaji, orang nampak kita ke Makkah. Tetapi kalau berpuasa, siapa pun tidak tahu samada kita benar-benar berpuasa atau tidak. Hatta anak isteri yang bersahur dengan kita subuh tadi pun tidak tahu samada kita benar-benar berpuasa. Siapa yang akan tahu apa yang kita buat, entahkah kita makan dalam pejabat, entahkah kita merokok dalam tandas, dan pelbagai lagi kemungkinan.”

Sebab itu Ramadhan mengajar kita menentang diri sendiri, melawan nafsu kita. Satu hadis menceritakan sebaik sahaja pulang daripada kemenangan besar dalam peperangan Badar dan menuju kembali ke Kota Madinah, sahabat mengucap alhamdulillah dan berkata kepada Nabi "Syukur kita telah menang dalam perang besar Badar Al Qubra ini".

Apa jawab Nabi saw; "Kita kembali daripada perang kecil, kita menuju ke peperangan yang lebih besar". Sahabat bertanya "Ya Rasulullah, apakah ada peperangan lebih besar di Madinah ini?".

Jawab Rasulullah, "Ya, mujahiddin nafsi...iaitu perang melawan nafsu yakni diri kamu sendiri".

Semoga Ramadhan 1431 H ini akan memberikan sinar taqwa dan keimanan yang sebenarnya kepada kita semua insyallah; kita juga sama-sama berdoa semoga kita muncul sebagai insan yang lebih beriman dan bertaqwa insyallah.

Selamat melaksanakan 'ibadah puasa di bulan Ramadhan 1431H ini.

Tirai Sya'ban berlabuh pergi

sinar Ramadhan menambah seri

moga taqwa dapat diperolehi

memantap aqidah disanubari.

Monday, August 9, 2010

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1431H/2010M (Part 1)

Sala(m muhibbah buat semua muslimin dan muslimat...
Ramadhan 1431 / 2010 tiba lagi. Marilah kita bermohon kepada ALLAH agar dapat kita melalui Ramadhan kali ini dengan penuh kesempurnaan. Berikut sedikit info tentang puasa dan Ramadhan buat panduan kita semua dalam usaha agar ibadah puasa kita sempurna dan diterima Allah s.w.t.

 
DEFINISI PUASA

Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.

PUASA DAN AGAMA

Puasa Dalam Agama Kristian

Puasa bermakna mengurangkan pengambilan makanan kepada satu hidangan besar (yang mungkin tidak mengandungi daging pada hari Jumaat) dan dua hidangan kecil (diambil pada waktu pagi dan petang). Mengambil makanan di antara waktu makan ini tidak dibenarkan.

Puasa Dalam Agama Yahudi

Puasa untuk umat Yahudi bermakna menahankan diri keseluruhannya dari makanan dan minuman, termasuk air. Gosok gigi diharamkan pada puasa hari besar Yom Kippur dan Tisha B'Av, tetapi dibenarkan pada puasa hari kecil. Memakan ubat pada umumnya tidak dibenarkan, kecuali di mana suatu arahan doktor akan melarangkan ketahanan diri. Umat Yahudi berpuasa selama enam hari pada satu tahun.

Puasa Dalam Agama Lain

Amalan berpuasa tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Penganut-penganut agama lain turut berpuasa, sebagai contoh agama Hindu, Kristian dan Yahudi. Apa yang membezakan puasa-puasa ini ialah cara perlaksanaan dan juga waktu berpuasa. Namun, tujuan dan matlamat puasa adalah sama, iaitu mendekatkan diri dengan Tuhan.

Puasa Dalam Agama Islam

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari dengan niat. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia, dan daripada bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung, puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya, dan tidak hanya pada bulan puasa.

PUASA DAN KESIHATAN

Ramai juga orang di zaman moden ini yang berpuasa atas sebab-sebab kesihatan, sama ada untuk menjalani pemeriksaan/pembedahan atau untuk menyihatkan badan.
Satu contoh yang utama ialah apabila pesakit dikehendaki berpuasa selama beberapa jam sebelum menjalani pembedahan atau prosedur-prosedur yang memerlukan penggunaan ubat bius. Ini kerana makanan di dalam perut boleh mengurangkan keberkesanan ubat bius itu. Satu lagi contoh ialah apabila menjalani sesetengah pemeriksaan kesihatan, biasanya kita akan diminta berpuasa supaya garis dasar (baseline) dapat dikenal pasti.

Ada juga orang yang berpuasa sebagai salah satu cara berdiet. Biasanya mereka perlu berpuasa agak lama, sekurang-kurangnya seminggu sebelum ia berkesan. Namun, mereka mungkin masih mengambil makanan sihat, seperti jus buah-buahan ataupun sayur-sayuran.
Sebuah kajian yang agak baru ke atas tikus mendapati bahawa berpuasa selang sehari, dan memakan dua kali ganda lebih banyak pada hari-hari tidak berpuasa memberikan kawalan insulin yang lebih baik dan ketahanan neuron daripada kecederaan. Kesan-kesan ini hampir sama dengan tikus-tikus yang diberi diet kalori terhad. Ini mungkin bermakna berpuasa selang sehari merupakan satu alternatif kepada pengehadan kalori untuk hidup yang lebih sihat dan lama.

Ini adalah kerana badan manusia menggunakan lebih kurang satu pertiga keseluruhan tenaga semasa masa jaga. Apabila badan sentiasa menggunakan tenaga tetapi tiada makanan yang diambil, badan manusia akan mencari sumber tenaga yang lain, seperti glukosa daripada simpanan glikogen di dalam limpa, asid lemak daripada lapisan lemak yang disimpan, dan akhirnya daripada tisu-tisu protein yang penting. Badan manusia tidak mempunyai masalah untuk bergantung dengan asid lemak, tetapi otak dan sistem saraf bergantung kepada glukosa. Apabila simpanan glukosa ini telah hampir habis, badan manusia mula menghasilkan ketone bodies (acetoactate, hydroxy-butyrate, and acetone) daripada protein. Kehabisan sumber protein ini boleh menyebabkan kematian. Jadi, para doktor amat menggalakkan pemakanan yang berkhasiat sahaja apabila hendak berpuasa.
Selain itu, terdapat beberapa lagi kebaikan berpuasa untuk kesihatan, seperti:
  1. memberi kerehatan kepada perut untuk meningkatan kecekapan
  2. menghancurkan sisa-sisa racun atau toksik di dalam darah manusia
  3. mengurangkan/menghapuskan ketagihan terhadap arak dan rokok
Hasilnya, kesihatan manusia akan bertambah baik. Berat badan dan risiko-risiko penyakit yang berkaitan dengan kegemukan dapat dikurangkan, dan umur seseorang itu boleh bertambah panjang.

JENIS-JENIS PUASA DARI SEGI HUKUM

Puasa Wajib

  1. Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Syariat puasa Ramadhan difardhukan kepada umat Muhammad s.a.w. pada tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.
  2. Puasa Kifarah.
  3. Puasa Nazar.

Puasa Sunat

Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam:
  1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
  2. Puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah
  3. Puasa pada Hari Asyura pada 10 Muharam
  4. Puasa pada Hari Isnin dan Khamis
Puasa Haram
  1. Puasa pada Hari Syak pada hari 30 Syaaban
  2. Puasa pada Hari Raya Aidil Fitri pada 1 Syawal
  3. Puasa pada Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah
  4. Puasa pada Hari Tasyrik pada 11, 12, 13 Zulhijjah
  5. Puasa perempuan haid & Nifas
  6. Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
  7. Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
  8. Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT.
PUASA DI BULAN RAMADHAN

Dalil disyariatkan Puasa Ramadhan

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Surah Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Kelebihan Bulan Ramadhan


Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.
 
Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.


Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Kelebihan Puasa di Bulan Ramadhan


Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sabda:
Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."

(Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Syarat-syarat Wajib Puasa: ada lima perkara
  • Islam - orang-orang kafir tidak wajib berpuasa.
  • Sampai umur - kanak-kanak yang belum cukup umur tidak wajib berpuasa.
  • Berakal (siuman)-orang yang gila tidak wajib berpuasa.
  • Berkuasa (berdaya) berpuasa - orang yang sakit merbahaya, orang tua yang lemah dan sebagainya tidak wajib berpuasa.
  • Bermukim - orang yang dalam pelayaran (musafir) lebih daripada dua marhalah tidak diwajibkan berpuasa, tetapi wajib mengqada'nya di hari yang lain.
Syarat-syarat Sah Puasa: ada enam perkara:
  • Islam - tidak sah puasa orang-orang kafir dan orang murtad.
  • Berakal atau mumaiyiz - tidak sah puasa orang yang hilang akal atau belum mumaiyiz.
  • Suci daripada haidh dan nifas sepanjang siang hari puasa.
  • Berniat tiap-tiap malam.
  • Menahan diri dari segala yang membatalkan puasa.
  • Pada hari yang sah puasa - tidak sah puasa pada hari yang diharamkan berpuasa.

Rukun Puasa

Rukun puasa ada dua, iaitu:
  • Berniat pada malam harinya
  • Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.
Lafaz dan Niat Puasa Ramadhan

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Lafaz setiap malam:
 نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Lafaz ringkas:
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

Tahukah anda????
  • Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.
  • Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
  • Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:
“Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.

Waktu Berniat

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.


Related Posts with Thumbnails

Khazanah Muat Turun